Monday, January 30, 2012

ISLAM AGAMA YANG MEMENTINGKAN NASIHAT DAN PERINGATAN.

Posted by UPP DPMZ On 2:11 PM




Nasihat dan peringatan merupakan dua elemen yang besar dan sangat penting bagi kita meninggikan atau menegakkan kebenaran dan memansuhkan kebatilan. Peranan untuk menegakkan dan meninggikan nasihat serta peringatan adalah menjadi tanggungjawab semua peringkat dan lapisan khususnya para pemuda-pemudi yang akan menjadi “Rijal At-Taghyir” atau agen perubah kepada masyarakat. 

Jadi adalah menjadi suatu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua lapisan supaya hadaf dan tujuan islam disebarkan salah satunya adalah untuk membentuk suatu keadaan dan suasana yang tenteram. 

Apa yang paling penting ialah untuk kita mendalami dan meneliti islam itu secara menyeluruh kerana banyak perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agama yang telah ditokok tambah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang mana agama membenarkannya untuk kita beramal telah diselewengkan oleh anasir-anasir yang ingin melihat umat islam dalam keadaan berpecah-belah dan huru-hara. 

Bagaimana kita ingin menyebarkan islam dan menyatakan kesyumulannya  kepada masyarakat sekeliling jikalau kita tiada kefahaman yang sahih berkenaan agama islam. Allah S.W.T berfirman di dalam firmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama islam itu secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya bagi kamu itu musuh yang nyata”.(Al-Baqarah : 208) 
Firman Allah S.W.T jelas menunjukkan akan kewajipan kita untuk mengenali dan mempelajari islam secara menyeluruh serta kewajipan untuk memahaminya secara sahih bukan dengan cara kita mengambil islam itu hanya beberapa peringkat sahaja.

 Maka ajaran islam adalah yang terbaik dan diredhai Allah untuk kita sampaikan dan untuk kita sebarkan samada ia berbentuk secara nasihat mahupun peringatan itu sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda di dalam satu hadis Baginda yang berbunyi : “Agama itu adalah nasihat. Para sahabat bertanya: “Untuk siapa? Sabda Rasulullah S.A.W. : Untuk Allah S.W.T , untuk kitab-Nya , untuk Rasul-Nya , untuk para pemimpin dan seluruh umat islam ”. Hadis Sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Al-Iman.

Hadis ini dikategorikan sebagai jawamiul kalim ( ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat ). Nasihat untuk Allah S.W.T ialah dengan beriman kepada Allah dan menolak syirik terhadap-Nya serta tidak mengingkari sifat-sifat-Nya. Juga menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan , ketinggian , dan mensucikan-Nya daripada segala kekurangan.

Begitu juga dengan ikhlas beribadat kepada-Nya , melakukan ketaatan , menjauhkan maksiat , kasih dan marah hanya kerana Allah semata-mata , member wala’ kepada sesiapa yang mentaati Allah dan menentang sesiapa yang mengingkarinya. 

Iltizam seorang muslim terhadap perbuatan serta percakapannya akan member suatu yang manfaat yang berguna kepadanya kerana Allah S.W.T tidak berhajat kepada sebarang an-nasihah daripada sesiapapun. Nasihat untuk kitab Allah S.W.T iaitu dengan beriman kepada kitab-kitab samawi kesemuanya yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Selain daripada itu, kita mestilah melaksanakan segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh kitab Allah S.W.T tidak kiralah dalam apa jua aspek dan perkara. 

Beriman bahawa al-quran adalah penutup kepada semua kitab-kitab samawi dan ia merupakan kalam Allah yang peuh hikmat dan mukjizat, bahkan Allah S.W.T telah menjamin didalam firman-Nya bahawa al-quran akan dijaga dan dipelihara daripada segala bentuk penyelewengan : “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-quran dan sesungguhnya kamilah yang akan memeliharanya”.( Al-Hijr : 9 ) Ada 3 perkara yang boleh kita katakan an-nasihah untuk kitab Allah S.W.T iaitu :

a) Membaca dan menghafalnya kerana membaca akan menghasilkan pengetahuan dalam sesuatu bidang yang ingin kita kuasai. Al-quran boleh menghasilkan pengetahuan, pembersihan jiwa, kesucian hati dan sebagainya. Imam Muslim telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W : Bacalah al-quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada pembacanya”.

b) Mengamalkan isi kandungan al-quran dan inilah merupakan kewajipan yang wajib dilakukan setiap lapisan iaitu bukan sahaja kita membaca dan menghafal bahkan perlu untuk kita memahami dan mengkaji segala isi kandungan al-quran.


c) Menyampaikan kepada generasi muslim. Imam Bukhari telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W : “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-quran dan mengajarkannya”.
Nasihat dari Rasulullah S.A.W ialah dengan membenarkan risalahnya, beriman dengan
semua perkara yang didatangkan oleh al-quran dan as-sunnah. Begitu juga dengan mencintai dan mentaatinya. Mengasihi Rasulullah S.A.W adalah sama seperti mengasihi Allah S.W.T. 

Firman Allah S.W.T: “ Katakanlah jika sekiranya kamu mencintai Allah S.W.T maka ikutilah aku”.( Aali-Imran :31 ) Ketaatan kepada Rasulullah S.A.W juga merupakan ketaatan kepada Allah S.W.T, firman Allah S.W.T : “Sesiapa yang taat Rasulullah S.A.W maka sesungguhnya dia telah taat Allah S.W.T. ( An-Nisaa : 80 ). An-nasihah untuk Rasulullah S.A.W selepas kewafatan Baginda ialah sentiasa beriltizam dengan sunnah Baginda serta mengkaji sirah-sirah perjalanan hidup dan dakwah Rasulullah S.A.W serta berakhlak dengan akhlak dan adab-adabnya dan juga senantiasa basahkan lidah dengan selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. 

Kategori an-nasihah yang seterusnya ialah an-nasihah untuk para pemimpin. Yang dimaksudkan dengan pemimpin ialah mereka yang telah ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk memimpin mereka.

 Juga termasuk dalam kategori pemimpin ialah para ‘alim ulama’ dan golongan yang mengislahkan masyarakat, maka wajib untuk melantik pemimpin dikalangan golongan muslimin supaya ketaatan menjadi wajib ke atas mereka. Firman Allah S.W.T : ‘Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin dikalangan kamu.” (An-nisaa’ :59). 

An-nasihah untuk para pemimpin ialah dengan kita mentaati dan patuh segala keadilan yang dilakukan oleh mereka, bukan dengan sebab kita mentaati mereka atas dasar kepentingan peribadi dan habuan dunia yang akan diterima, bahkan taatilah mereka selagi mana pemerintahan mereka berlandaskan al-quran dan as-sunnah, selagi mana pemerintahan dan kepimpinan mereka menatijahkan kesatuan ummah dan menghapuskan perpecahan, itulah kepimpinan dan pemerintahan yang sebenar. 

Kita juga perlulah memberi suatu teguran yang lembut dan penuh hikmat kepada pemimpin. Sesungguhnya sesuatu kaum itu akan menjadi binasa dan tidak ada kebaikan jika tidak menasihati para pemimpin yang zalim dan begitulah juga apabila terdapat pemimpin yang menghina dan membenci serta mengunci mulut-mulut mereka yang memberi suatu teguran
terhadap mereka yang mana kepimpinan sebegini akan menuju kepada suatu zaman kebinasaan dan kemurkaan Allah S.W.T. 

Rasulullah S.A.W pernah bersabda : ‘Sebesar-besar jihad ialah menyatakan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” An-nasihah untuk para ‘alim ulama’ ialah kita mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang terpundak di atas bahu mereka serta kita membenarkan apa yang mereka sampaikan daripada Rasulullah S.A.W selagimana mereka adalah ahli siqah (dipercayai). 

Kategori yang terakhir ialah an-nasihah untuk sesama muslim. Yang dikatakan an-nasihah ini ialah kita memberi tunjuk ajar dan didikan islam kepada mereka demi kepentingan dunia dan akhirat, demi melahirkan generasi-generasi yang akan meneruskan kesinambungan  perjuangan Rasulullah S.A.W. An-nasihah yang dilaksanakan itu tidakalah terhenti sekadar kata-kata sahaja, bahkan ia perlu dijangkaukan kepada amalan. 

Dengan itu an-nasihah akan berperanan sebagai penutup keaiban dan penyekat kecacatan, melahirkan kebaikan, menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Memberi nasihat kepada sesiapa yang meminta untuk diberi nasihat adalah antara bentuk-bentuk an-nasihah yang paling besar. Rasulullah S.A.W bersabda : “Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat maka nasihatilah dia.”

 Secara kesimpulannya yang boleh kita perkatakan disini betapa peri pentingnya an-nasihah sesama umum muslimin ini kerana disana terdapat hak-hak seorang muslim keatas saudaranya yang lain.  Fudhail bin ‘I’yadh berkata : “Orang yang paling Berjaya disisi kami bukanlah mereka yang Berjaya melaksanakan banyak sembahyang dan puasa, tetapi yang paling berjaya di sisi kami diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan tanggungjawab an-nasihah terhadap ummah.” 

Selain itu juga, apa yang paling penting dalam perkara an-nasihah ini ialah teguran yang mana teguran secara rahsia adalah yang dituntut bagi menutup segala bentuk keaiban saudaranya, maka Allah S.W.T akan menutup keaibannya di akhirat kelak. Sebahagian ulama’ berkata “sesiapa yang menegur saudaranya dengan sesuatu perkara dan hanya diketahui olehnya dan saudaranya sahaja maka itu adalah nasihat. Sesiapa yang memperingatkan saudaranya di khalayak ramai, maka sesungguhnya dia telah menempelaknya.” Wallahua’lam.  


Sunday, January 29, 2012

ZAGAZIG WINTER GATHERING 2012, OBJEKTIF BIAH SOLEHAH MENAMPAKKAN HASIL

Posted by UPP DPMZ On 4:11 PM


ZAGAZIG, 28 JANUARY 2012- Unit Biah Solehah di bawah pantauan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan DPMZ telah menganjurkan satu program forum santai iaitu ZAGAZIG WINTER GATHERING 2012. Majlis yang bertemakan "Mencari Mutiara Nil" itu bermula sekitar jam 6.30 pm dan berakhir kira-kira jam 10.00 pm.

Thursday, January 26, 2012

PENYAKIT YANG MELANDA AKTIVIS DAKWAH ISLAMIAH

Posted by UPP DPMZ On 8:34 PM



Penyakit yang biasa melanda para aktivis adalah ghurur (terpedaya oleh diri sendiri). Penyakit ini berlaku kerana para aktivis merasakan dirinya telah lama dalam kerja-kerja dakwah, usaha-usahanya sentiasa berjaya, jamaah yang disertainya terkenal dan barisan kepimpinannya masyhur serta disanjung oleh masyarakat dengan label professor, doktor dan sebagainya.

BUAT MEREKA YANG BERGELAR PIMPINAN

Posted by UPP DPMZ On 12:15 PM


Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” - (Al-Mukmin: 60). 

Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat.
Imam Al-Ghazali berkata:
“Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.” 

Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.

Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pemimpin jamaah terutamanya. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.

Sifat ini boleh membawa kebinasaan kepada petugas dan pemimpin jamaah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia dan jamaah.

Orang yang takbur mereka lupa  bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim:
Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]


Tanda-tanda sifat takbur dalam berbagai bentuk

-Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya suka memandang berat kepada golongan kaya dan orang kenamaan.
-Mengambil berat secara berlebihan dalam pakaian.
-Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang.
-Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga dengan berlebihan sehingga sukar difahami. Inilah yang diperingat oleh baginda nabi Muhammad SAW

“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih (rumput) dengan lidahnya” (Abu Daud dan al-Tirmizi)

-Kagum dengan ilmu sendiri dan membodohkan orang lain



Cara untuk mengubat

Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaduk. Orang yang tawaduk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang. Beliau sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.

Sebagai pimpinan hendaklah mesti bersikap rendah diri sama ada sesama kita atau dengan orang lain lebih-lebih lagi yang bertaraf pemimpin. Railah ahli kita, bukan wang yang mereka minta. Mereka hanya perlukan senyuman, teguran dan sentuhan daripada pemimpin. Ini sahaja yang mereka minta. Mereka tidak minta upah semasa mereka membantu kita sebagai pimpinan. Mereka meninggalkan kerja harian, untuk membantu walaupun mereka memerlukan masa seharian. Mereka tidak pernah merungut dan mengeluh terhadap curahan tenaga mereka yang tidak pernah dibayar.

Walaupun kita bijak macam mana sekalipun, dia  perlu membuang sifat ego daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu gerakan atau jemah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, ahlinya bekerja secara sukarela bukan  ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam jamaah insyaAllah ia akan merancakkan kerja jamaah dan dapat melebarkan pengaruh Islam kepada orang luar. Sekiranya  ahli dan pemimpin  islam dengan sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan boleh membawa gerakan ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong tidak boleh kekal lama dalam gerakan dan memajukan jamaah dengan lebih cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah.

Abdullah Ibn Masud ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu berputus asa  dan rasa bangga diri.

Sifat tawadhuk akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang dibawa oleh  garakan. Mereka apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang memulakan salam dengan semua yang ditemuinya. Mereka bersikap  sederhana ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis. Mereka makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya dan berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah hati.

Firman Allah s.w.t

“Dan hamba Allah yang baik; ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan (kesejahteraan) (al-Furqan: 63)

Merendah diri dan menerima kebenaran dan bersedia mengikutnya sekalipun orang-orang jahil menasihatinya. Takabbur atau sombong sangat dibenci oleh Allah dan juga oleh manusia lain. Kemuliaan di sisi Allah diukur dari segi ketaqwaan seseorang itu bukannya pangkat, harta dan lain-lain.

Juga sabdanya s.a.w.:

“Barangsiapa yang merendahkan diri kerana Allah, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah dan barangsiapa yang sombong, maka direndahkan tingkatnya oleh Allah.”

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawadhuk sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain” (Muslim dan Abu Daud) Nasih : 38

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya. 

Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Wednesday, January 25, 2012

Kumpulan Rakan Muslim Yang Terkini 2012

Posted by UPP DPMZ On 6:31 PM

 Sila klik image ini untuk paparan lebih jelas.

Monday, January 16, 2012

Kenapa Aku Tidak Najah Dalam Imtihan ??

Posted by UPP DPMZ On 4:03 PM



Firman Allah SWT :

Maksudnya : “Dan berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang - orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina”

Apabila tiba musim peperiksaan, pasti akan datang satu perasaan takut, berebar - debar, bosan, kenapa wujud peperiksaan dan sebagainya lagi keluar dalam benak fikiran kita. Mungkin ianya akan terngiang - ngiang dalam fikiran kita”kenapa aku tak najah - najah ni? Bukannya aku tak belajar. Siang malam aku belajar tapi hasilnya aku tak najah-najah jugak.”

Thursday, January 12, 2012

Satu Hati ’12 : Menjayakan Satu Fikrah Satu Amal

Posted by UPP DPMZ On 6:27 PM



KAHERAH, 11 Januari – Proses pengkaderan pimpinan merupakan tunjang utama ke  arah memastikan  sesuatu organisasi atau pertubuhan dapat bergerak dan diteruskan selari dengan visi dan misi serta berlandaskan dasar yang telah ditetapkan.

“ Program pembinaan jati diri pimpinan ini amat perlu supaya setiap permasalahan yang ditanggung di peringkat pusat tidak hanya berlegar sekitar mereka sahaja bahkan permasalahan itu dapat diselesaikan secara kolektif dengan kerjasama yang dimainkan oleh pimpinan di peringkat cawangan BKAN dan DPM. Pepatah ada menyebut “ Berat sama dipikul ringan sama dijinjing"  ujar Saudara Abdul Aziz bin Ali merangkap Pengarah Satu Hati ’12.

Satu Hati ’12 yang akan menghimpunkan seluruh pimpinan PMRAM di peringkat pusat dan cawangan BKAN dan DPM yang berjumlah hampir 300 orang ini akan memfokuskan beberapa perkara yang menjadi pengisian penting antaranya slot Sejarah Kita, karekter seorang pimpinan dan beberapa modul yang diaturkan khusus untuk mengeratkan ukhuwah antara pimpinan serta memupuk  semangat sebagai kepimpinan PMRAM di setiap cawangan .

Program sulung PMRAM untuk tahun 2012 ini dijadualkan berlangsung pada pertengahan Februari nanti iaitu sejurus selepas tamatnya waktu tawakkuf program di peringkat PMRAM.

Bertemakan “ Teguh Wadah Atasi Mehnah “ Satu Hati ’12 diharapkan dapat melahirkan pimpinan yang mampu untuk bersama-sama dengan PMRAM dalam apa jua keadaan senang mahupun susah sekaligus menjayakan subtopik Ucapan Dasar Presiden PMRAM iaitu ‘Satu Fikrah Satu Amal’ ujar Saudara Abdul Aziz Ali lagi.

Justeru, PMRAM mengharapkan agar seluruh pimpinan cawangan BKAN dan DPM dapat memberikan kerjasama yang terbaik dalam program Satu Hati ’12 yang bakal berlangsung ini.

Oleh yang demikian, sebagai persiapan ke arah kesempurnaan dan kelancaran program tersebut seluruh pimpinan diminta supaya mengkaji dan meneliti semula sejarah agung PMRAM bermula daripada tahun penubuhannya iaitu 1930 sehingga ke hari ini supaya matlamat penganjuran program ini dapat direalisasikan secara bersama. 

Sumber : pmram.org

Wednesday, January 11, 2012

MENIRU DALAM PEPERIKSAAN (Menurut Islam)

Posted by UPP DPMZ On 4:38 PM


MENIRU DALAM PEPERIKSAAN

Harus Atau Tidak Menurut Kacamata Islam ?


MENIRU BUKAN DARIPADA KALANGAN KITA

Sekadar untuk penelitian bersama. Masih ada dikalangan segelintir pelajar-pelajar Islam yang menyatakan :

"Boleh je kita meniru dalam peperiksaan, kerana sistem peperiksaan adalah ciptaan kaum Barat, apatah lagi soalan susah sangat, so.. tiada masalah kalau meniru sekalipun, apa yang kita dapat pun lepas ni hanyalah sijil yang berunsurkan keduniaan, apa yang penting adalah ilmu di dada, bukan sijil yang menjadi target dan tujuan utama".

Situasi Di Syria : PMRAM Terus Berhubung Dengan PPMS

Posted by UPP DPMZ On 4:21 PM



KAHERAH, 10 Jan - Situasi di Syria kini semakin melarat dengan bilangan terkini bahawa kematian rakyat Syria yang terlibat dalam demontrasi semakin meninggi. Ekoran itu, isu semasa yang berlaku di Syria menjadi tumpuan seluruh masyarakat Islam khususnya di seluruh dunia. 

Tuesday, January 10, 2012

Hikmah Sebalik Bulan Safar

Posted by UPP DPMZ On 9:02 PM



Jika Muharam bermula dengan niat, azam dan tekad yang baru untuk menghijrahkan diri pada keimanan, apa pula kisahnya di bulan kedua dalam kalendar Hijrah bagi tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi) dalam Islam iaitu bulan Safar yang sedang kita jalani kini?

Wednesday, January 4, 2012

Jangan Ambil Mudah Fatwa Merokok Adalah Haram

Posted by UPP DPMZ On 4:06 PM




PUTRAJAYA: Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.

Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.
Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.

Sunday, January 1, 2012

Isu Mahasiswa, Isu Kita Bersama.

Posted by UPP DPMZ On 3:08 AM


Sejak kebelakangan ini kita sering dipertontonkan dengan beberapa isu besar dan insiden yang berkaitan dengan mahasiswa. persoalannya adakah kita peduli mahupun cakna dalam setiap situasi perjuangan yang melibatkan golongan mahasiswa di timur tengah ataupun di tanah air kita sendiri?.

Perlu diingat, suara Mahasiswa merupakan suara keramat, tidak goyah dihujani pelbagai fitnah, tidak gentar diugut meskipun maruah tercalar. Virus kebangkitan mahasiswa kebelakangan ini kian merebak seiring dengan perubahan semasa di sesebuah negara. Tidak pantas jika diri bergelar mahasiswa andai perkara yang berkaitan dengan kezaliman mahupun penindasan kita belum mampu melafazkan walau hanya satu perkataan iaitu, "zalim".

Anak muda adalah pelopor kepimpinan masa hadapan, perkara itu tidak dapat dinafikan lagi. semangat, keberanian, keimanan serta azam yang tinggi adalah modal utama dalam sesebuah perjuangan yang belum tahu bila penghujungnya, namun yang pasti nohtahnya adalah kemenangan selagimana prinsip dan dasarnya tidak berubah.

Setiap isu yang berkaitan dengan mahasiswa adalah isu kita bersama, tidak kira di perlembahan Nil ini mahupun di negara kita sendiri. Yang menjadi penghalangnya adalah situasi. Namun sedemikian bukanlah bermakna kita hanya mampu melihat dan mendiamkan diri sahaja.

Kebangkitan golongan muda khususnya mahasiswa merupakan satu titik permulaan dalam satu perubahan. Kuasa mahasiswa amat besar pengaruhnya dalam sesebuah negara, tidak hairanlah jika sesetengah negara melalui fasa perubahan dari segenap sudut akibat dari suara dan kuasa golongan muda dan mahasiswa yang inginkan keadilan dalam sesuatu perkara.

Mahasiswa selama ini bukanlah mati, akan tetapi mereka sedang asyik lena dibuai mimpi. Kesedaran tidak singgah di sanubari mereka dalam keadaan mereka melihat tetapi hanya membisu seribu bahasa. Adakah layak bergelar MAHASISWA jika hanya mampu menjadi pemerhati? jawapannya ada pada perenggan yang ke dua.

Sahabat sekalian, kejutkanlah mereka, jangan biarkan mereka terus dibuai lena bimbang nanti mereka terjaga sendiri tanpa daya. Kita bersama-sama mengejar cita-cita, ingin berjaya dalam bidang pengajian yang diceburi dalam masa yang sama ingin berjaya merubah masyarakat islam bilamana terjun dalam kelompok masyarakat umum satu hari nanti. Di sini adalah medan pertama, medan mengislah dan mentajdid minda golongan mahsiswa.




Sahabat